Jumaat, 7 Ogos 2009

TENTANG J- QAF

KONSEP PROGRAM j-QAF

Program j-QAF adalah suatu usaha memperkasakan Pendidikan Islam melalui penekanan khusus dalam pengajaran Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain yang dilaksanakan di peringkat sekolah rendah. Pelaksanaan j-QAF menggunakan kurikulum serta model dan modulnya yang tersendiri. Tenaga guru yang khusus digunakan untuk pemulihan, bimbingan, kemahiran, pengukuhan, pengayaan dan penghayatan murid. Pelaksanaannya menggunakan peruntukan jadual waktu sedia ada.

OBJEKTIF PROGRAM j-QAF

Setelah program ini dilaksanakan dengan baik dan berkesan, semua murid Islam sekolah rendah akan dapat:

  • Menguasai bacaan dan tulisan jawi
  • Khatam al-Quran
  • Menguasai asas Bahasa Arab Komunikasi
  • Memantapkan dan menghayati amalan Fardhu Ain

KEPENTINGAN PROGRAM j-QAF

Program j-QAF menjadi lebih penting sebagai suatu usaha ke arah memperkasakan PI yang sedia ada supaya semua bidang dalam PI iaitu bidang Tilawah al-Qur’an, bidang Aqidah, Ibadah, Sirah Nabawi Akhlak dan Jawi lebih berkesan dan dapat dihayati dan diamalkan dalam kehidupan.

1. Pemulihan Jawi

Jawi adalah sebahagian daripada komponen pendidikan Islam dan mula dilaksanakan pada tahun 2003 dengan pendekatan pengajaran 2 waktu seminggu pada 6 bulan pertama di tahun satu. Laporan pemantauan mengenainya mendapati penguasaan bacaan dan tulisan Jawi perlu dibaiki lagi. Ini bermakna jawi dalam pendidikan Islam semata- mata masih belum mencukupi dan berkesan. Oleh itu pemulihan Jawi dalam j-QAF menjadi keutamaan khasnya kepada murid tercicir supaya semua murid boleh menguasai Jawi setelah diberi bimbingan secara berterusan.

2. Kepentingan Khatam al-Qur’an

al-Quran pula telah diajar sebagai sebahagian Pendidikan Islam dalam bidang Asuhan Tilawah al–Quran pada masa ini. Namun ia tidak menekankan pembelajaran sehingga khatam al-Quran kerana ia memerlukan bimbingan berterusan daripada bilangan guru yang sesuai dengan nisbah murid yang menepati pendekatan talaqqi dan musyafahah (iaitu satu kaedah pembelajaran secara bersemuka dengan guru bagi mendengar, membetul kesalahan dan menyebut semula dengan baik dan lancar). Oleh itu PI pada masa ini hanya menjurus kepada kebolehan membaca sahaja manakala aspek khatam tidak ditekankan di sekolah tetapi menyerahkannya kepada masyarakat.

3. Kepentingan Bahasa Arab

Status Bahasa Arab Sekolah Rendah pada masa ini sebagai mata pelajaran bahasa tambahan. Ia diajar di sekolah-sekolah rendah secara berpilih dan terhad. Tidak semua murid berpeluang mempelajarinya.

4. Kepentingan Fardhu Ain

Ramai ibu bapa masih belum berpuas hati dengan tahap pencapaian dan penguasaan anak-anak mereka terhadap amalan Fardu Ain terutama dalam hal ibadah mendirikan solat. Tambahan pula Penilaian Perkara Asas Fardhu Ain (PAFA) yang dilaksanakan pada masa ini perlu dikaji dan disemak semula supaya ia dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Oleh itu satu pendekatan baru perlu diperkenalkan bagi memantapkan perlaksanaan Fardhu Ain ini.

MODEL-MODEL PROGRAM j-QAF

Enam (6) model telah dikenalpasti akan dilaksanakan iaitu 5 model pengajaran dan 1 model kokurikulum. Model-model pengajaran adalah seperti berikut:

1. model Kelas Pemulihan Jawi;

2. model Tasmik;

3. model 6 bulan Khatam al-Quran;

4. model Perluasan Bahasa Arab Kumunikasi;

5. model Bestari Solat.

Bagi aktiviti-aktiviti pengukuhan pula yang telah dikenalpasti akan dilaksanakan adalah model-model berikut:

1. Kelab Seni Tulisan Jawi;

2. Kem Bina Juara;

3. Majlis Khatam al-Quran;

4. Kem Literasi al-Quran; dan

5. Pertandingan Bahasa Arab.

MODEL-MODEL j-QAF

1. Model Kelas Pemulihan Jawi

Model Pemulihan Jawi diperjelaskan di dalam Buku Panduan Perlaksanaan Model kelas Pemulihan Jawi. Ia akan diajar oleh guru khas pemulihan jawi dalam waktu yang sama dengan kelas jawi biasa di semua sekolah dengan menggunakan modul pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran. Semua sekolah hendaklah menubuhkan Kelab Seni Tulisan Jawi dan menjalankan aktiviti pengukuhan di peringkat sekolah dengan menyediakan bahan-bahan bacaan tambahan yang bersesuaian serta mempertingkatkan penggunaan kemudahan ICT sedia ada.

2. Model Khatam Al-Quran

Khatam Al-Quran diperjelaskan di dalam buku panduan Perlaksanaan Program Khatam Qur’an Model 6 Bulan dan Buku Panduan Program Khatam al-Qur’an Model Tasmik.

Model 6 Bulan dilaksanakan mengikut modul yang telah ditetapkan dengan menggunakan peruntukan waktu PI sedia ada. Model ini akan menggunakan pendekatan talaqqi dan musyafahah. Murid yang belum menguasai bacaan al-Quran dibimbing dengan kaedah IQRA’, sementara yang telah menguasainya diteruskan menggunakan model khatam al-Quran.

Model Tasmik pula dilaksanakan di luar waktu persekolahan normal mengikut kesesuaian dan keupayaan murid serta dengan persetujuan ibu bapa mereka dan kesediaan guru pembimbing yang terdiri daripada guru j-QAF, GPI, guru-guru mata pelajaran lain yang berkemampuan, atau pembimbing luar yang sesuai. Guru pembimbing tersebut hendaklah dilantik secara rasmi oleh pihak sekolah dan insentif khas wajar dipertimbangkan.

3. Model Bahasa Arab

Bahasa Arab Komunikasi (BAK) yang sedang dilaksanakan pada masa ini di sekolah-sekolah kebangsaan akan diperluaskan pelaksanaannya di semua sekolah. Status mata pelajaran ini adalah sebagai mata pelajaran pilihan. Walau bagaimanapun murid diwajibkan memilih BAK sekiranya tidak mengambil mata pelajaran Bahasa Cina dan Tamil. Peruntukan waktu adalah 60 minit seminggu dan diajar oleh guru Bahasa Arab yang dilantik khusus.


OH GURU.......

CIRI-CIRI GURU BESTARI

BERILMU PENGETAHUAN

Mempunyai ilmu yang mendalam mengenai profesion perguruan dan bidang yang diajar.Ia dapat memberi keyakinan pada pelajar bahawa gurunya akan dapat memberi pengajaran yang sempurna.

BERKEMAHIRAN

Mempunyai kemahiran yang tinggi dalam melaksanakan tugas yang diberikan dengan menggunakan peralatan berteknologi.

CERDAS & CERGAS

Cerdas dan pandai mencerakin sesuatu masalah, dapat menjangka masalah yang mungkin timbul dan mengambil langkah awal untuk mencegahnya.

BERILTIZAM TINGGI

Mempunyai kesungguhan , ketekunan , dedikasi dan rasa bersalah jika tidak melaksanakan tugas dengan sebaiknya.

BERPANDANGAN POSITIF

Mempunyai tanggapan positif terhadap setiap pelajarnya dan berhak mendapat pendidikan serta berpotensi untuk dimajukan.

BERLAKU ADIL

Melayan semua pelajar secara sama rata tanpa membezakan .

IKHLAS

Bersungguh-sungguh menjalankan tugas tanpa mengharapkan balasan malah menganggapnya sebagai ibadah dan bersyukur apabila memperoehi kejayaan.

KREATIF DAN INOVATIF

Sentiasa berusaha mencari jalan memperbaiki kelemahan dan membuat perubahan yang boleh memberi faedah kepada diri dan pelajar.

BERKOMUNIKASI SECARA BERKESAN

Bijak berkomunikasi serta berupaya menjalin hubungan mesra dengan guru dan pelajar.

SENTIASA MENEPATI MASA

Bijak mengatur masa supaya dapat menghasilkan kerja yang baik mengikut masa yang ditetapkan.

BERWAWASAN

Berwawasan dan bercita-cita tinggi bahawa pelajar dan dirinya sendiri akan dapat mencapai sesuatu yang terbaik pada masa akan datang.

MENJADI CONTOH YANG BAIK

Guru seharusnya mempunyai budi pekerti yang mulia dan menjadi contoh yang baik kepada pelajar. Kata nasihat guru jangan bertentangan dengan perbuatannya.

PENYAYANG

Menyayangi pelajar seperti anak sendiri.

Khamis, 6 Ogos 2009

INFO

Menjelang bulan Ramadhan ni,
mungkin elok kalau saya kongsikan artikel berkenaan dengan Buah Kurma (Tamar).

Buah kurma atau dalam bahasa Arab nya dipanggil tamar tergolong dalam
keluarga phoenix.
Phoenix adalah sekumpulan jenis palm seperti kelapa sawit.
Buahnya bertangkai seperti buah pinang.
Kurma mengandungi pelbagai khasiat pemakanan yang tinggi seperti Kismis dan Aprikot kering.

Antara khasiat buah kurma ialah ;
1-Kaya dengan protein
2-Kaya dengan gula
3-Kaya dengan serat
4-Kaya dengan Vitamin A dan Viramin C
5-Kaya dengan zat mineral dan galian seperti Besi, Kalsium, Sodium dan Potasium.

Umat Islam disunatkan untuk berbuka dengan kurma.
Kepentingan buah kurma adalah berdasarkan hadith Nabi SAW yang bermaksud :
“Rumah yang tiada kurma seperti rumah yang tidak mempunyai makanan”. Kurma adalah antara makanan/buah yang paling disukai oleh Rasulullah SAW.

Pecahan kandungan khasiat buah kurma dalah seperti berikut ;
1-Protein (1.8~2.0%)
2-Serat (2.0~4.0%)
3-Glukosa(50.0~57.0%)

Disebabkan kandungan gula di dalamnya telah ditukar secara semulajadi,
maka apabila kita memakan kurma, tenaga dapat diserap oleh tubuh dengan serta-merta.

Sebaliknya gula di dalam kebanyakan buah-buahan lain, dikenali sebagai Fraktosa dan Gula Tebu atau Gula Pasir yang biasa mengandungi Sukrosa.
Gula-gula jenis ini tidak boleh menyerap terus ke dalam tubuh.
Ia terpaksa dipecahkan dahulu oleh enzim sebelum bertukar menjadi Glukosa.
Glukosa inilah yang diserap oleh tubuh sebagai tenaga.

Oleh itu kita sangat-sangat disunatkan untuk berbuka dengan kurma.
Kurma dapat memberikan tenaga tenaga segera kepada si pemakan.
Ini membolehkan kita beribadat dan menunaikan sembahyang maghrib atau tarawih dengan lebih bertenaga walaupun kita telah berpuasa di siang harinya.

Adalah sangat digalakkan untuk kita makan buah kurma tanpa buang kulitnya.
Ini kerana buah kurma kaya dengan serat.
Serat ini melawaskan makanan dan dapat mencegah barah usus.

Kandungan vitamin A dan C adalah paling tinggi semasa kurma di peringat Rotab dan Khalal.

Manakala kandungan zat galian dalam kurma seperti Potasium adalah amat diperlukan oleh sistem saraf kita.

Pendek kata, Buah Kurma adalah juadah berbuka puasa yang terbaik untuk kita.
Benarlah…dalam sunnah Nabi SAW itu terdapat banyak sekali hikmah dan manfaat sekiranya kita dapat mengamalkannya.

*Ada pelbagai cara untuk menikmati buah kurma. Di sini saya akan ceritakan satu resipi buah kurma yang anda patut cuba. Resipi ringkas ini diberikan nama ‘air kurma susu’. Cara buatnya amat mudah ;
1-Masukkan beberapa ulas buah kurma yang telah dibuangkan biji nya dan segelas susu segar ke dalam blender
2-’Blender’ buah kurma dengan susu tersebut hingga sebati
3-Letakkan di dalam peti ais selama 1~2jam
4-Setelah betul-betul sejuk, barulah ‘air kurma susu’ itu diminum

Resipi ini memang sangat bagus untuk kesihatan. Cubalah.

*Kurma juga bagus diberikan kepada baby atau anak-anak kecil. Cubitlah sedikit isi kurma dan suapkan ke dalam mulut baby anda. Ianya membantu pembesaran minda dan kecerdasan minda anak anda.

Rabu, 5 Ogos 2009

TAZKIRAH REJAB

Keistimewaan bulan ini ialah seluruh amalan manusia diangkat untuk dihadapkan kepada Allah SWT, sewajarnyalah sepanjang bulan ini diisikan dengan amal ibadah dan kebajikan. Antara amalan yang digalakkan pada bulan Sya‘ban adalah:

1. Memperbanyak puasa sunat.

Nabi SAW lebih gemar berpuasa sunat dalam bulan Sya‘ban berbanding dengan bulan-bulan yang lain.

2. Bertaubat dan Beristiqhfar

Bertaubat dan beristigfar boleh mensucikan jiwa dari dosa, kerana sebagai manusia kita sudah pasti tidak akan terlepas dari melakukan dosa. Walau bagaimanapun sebenar-benar taubat itu ialah taubat nasuha.

Taubat nasuha akan berjaya dilakukan apabila kita menepati syarat-syaratnya, contohnya jika dosa itu antara manusia dengan Tuhan:

1. Dia hendaklah meninggalkan dosa atau maksiat itu.

2. Dia hendaklah benar-benar menyesali dan merasa sedih dengan perbuatan maksiatnya itu.

3. Dia berjanji dan berazam untuk tidak akan mengulangi dan melakukannya.

Manakala jika dosa itu berkaitan dengan hak orang lain, hendaklah memohon maaf daripada orang berkenaan.

3. Memperbanyak zikir dan berdoa

Zikir ialah ucapan yang dilakukan dengan lidah atau mengingati Allah dengan hati, dengan ucapan atau ingatan yang membesar dan mengagungkan Allah.

Ini bersesuaian dengan janji Allah SWT bahawa orang-orang yang beriman itu tenang hati mereka dengan zikrullah. Ini kerana berzikir (mengingati Allah) itu mententeramkan hati manusia.



“Bulan itu (Sya‘ban) yang berada di antara Rejab dan Ramadhan adalah bulan yang dilupakan manusia dan ia adalah bulan yang diangkat padanya amal ibadah kepada Tuhan Seru Sekalian Alam, maka aku suka supaya amal ibadah ku di angkat ketika aku berpuasa”.(HR an-Nasaie)

Malam Nisfu Sya‘ban

Kelebihan Malam Nisfu Sya‘ban itu telah disebutkan di dalam hadis sahih daripada Mu‘az bin Jabal r.a Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :

“Allah menjenguk datang kepada semua makhluk-Nya di Malam Nisfu Sya‘ban, maka diampunkan dosa sekalian makhlu-kNya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan.” (H.R Ibnu Majah, at-Thabaroni dan Ibnu Hibban)

Pada malam Nisfu Sya‘ban juga, adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa. Menyedut pendapat Imam asy-Syafi‘e dalam kitabnya al-Umm telah berkata: “Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya ‘Aidil fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nisfu Sya‘ban.”

Kita boleh Menghidupkan Malam Nisfu Sya‘ban dengan memperbanyakkan beribadat seperti sembahyang sunat dan berdoa, berzikir dan membaca al-Quran..

KURSUS BINA BAHAN BANTU MENGAJAR.

40 orang guru pendidikan Islam dalam Daerah Rembau telah terlibat di dalam kursus pembinaan BBm dan laman Web........SK Sepri menghantar 2 orang GPI iaitu Ustazah Jazimah dan Ustaz Rafai.
Memang tengah sibuk menyiapkan BBM...
Ust Rafai turut terlibat....gaya mcm pensyarah.....
Ust Jazimah sedang membuat BBM guna power point.......utk anak didik lah tu........



ps: Boleh lah buat blog sendiri............

AHLAN WASAHLAN

Selamat datang ke blog panitia pai sksepri